Sunday, 30 June 2019

Tajuk 10 : Pengurusan Pelbagai Budaya

Tajuk 10 : Pengurusan Pelbagai Budaya


Pengurusan pelbagai budaya merupakan kaedah penyusunan dan perancangan sesebuah kelas yang terdiri daripada pelajar pelbagai budaya. Pengurusan pelbagai budaya adalah penting dalam menguruskan sekolah kerana pengurusan pelbagai budaya mampu memberi implikasi kepada semua warga di dalam sekolah, termasuklah pendidik dan anak didik. Di dalam sesebuah sekolah akan wujud pelbagai budaya yang dipraktikan oleh pelajar yang mampu mempengaruhi suasana pembelajaran mereka. Budaya merupakan sesuatu yang dikongsi oleh sekumpulan masyarakat. Sesuatu budaya dipelajari melalui proses pembelajaran. Bukan itu sahaja, sekolah juga merupakan sebuah tempat khas untuk memberikan pendidikan kepada pelajar, iaitu sesiapa yang belajar di situ serta menerima ilmu pengetahuan dari tempat tersebut.

Terdapat beberapa aspek yang perlu ada dalam pengurusan pelbagai budaya. Antara aspek yang perlu ada adalah belajar secara berkumpulan. Hasil dari pemerhatian di dalam kelas 2 Inovatif, budaya belajar secara berkumpulan yang ditunjukkan oleh para pelajar. Pemilihan ahli kumpulan terdiri daripada kaum Melayu dan India mengikut jantina yang sama dan ditentukan oleh guru. Pelajar kurang memberi perhatian semasa set induksi terutamanya kepada kumpulan pelajar lelaki. Perbincangan dalam kumpulan lebih terserlah dalam kalangan pelajar perempuan, ini kerana pelajar perempuan lebih memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di hadapan kelas.

Aspek kedua adalah budaya berinteraksi sesama kaum. Budaya berinteraksi antara pelajar menunjukkan mereka berkomunikasi sesama kaum mereka sendiri dengan menggunakan loghat atau bahasa ibunda masing-masing. Pelajar kaum India masih menggunakan bahasa ibunda mereka di dalam kelas apabila berinteraksi dengan rakan-rakan sesama kaum. Majoriti pelajar lebih selesa bergaul dengan rakan daripada kaum yang sama dan semua bentuk interaksi seperti pengalaman peribadi, perbincangan agama, budaya dan hobi serta perkongsian rahsia lebih menjurus kepada rakan daripada kaum yang sama. Oleh itu, budaya berinteraksi antara pelajar perlu diwujudkan bagi mengelakkan wujudnya jurang sosial yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Aspek yang ketiga adalah budaya tolong-menolong. Definisi tolong menolong adalah sikap saling membantu untuk meringankan beban orang lain dengan melakukan sesuatu. Bantuan yang dimaksudkan itu berbentuk bantuan dari segi tenaga, waktu, ataupun dana. Dari apa yang diperhatikan, budaya tolong- menolong ditunjukkan oleh pelajar perempuan kaum India tingkatan Dua Inovatif apabila pelajar tersebut membersihkan papan putih dan melakukan kerja secara sukarela sebelum pembelajaran di dalam kelas bermula.

Aspek yang keempat pula adalah budaya tingkah laku pelajar. Budaya ini dapat dilihat apabila pelajar Islam membaca doa sebelum belajar manakala pelajar kaum India menghormati keadaan tersebut. boleh mengikut arahan guru dengan betul. Kebiasaan pelajar-pelajar bukan Islam akan bertafakur dan membaca doa mereka di dalam hati. Hal ini dapat memupuk nilai bertoleransi dan hormat menghormati dalam diri setiap pelajar walaupun berbeza kepercayaan dan pandangan dalam agama masing-masing.
Tambahan pula, suasana harmoni dan aman dapat diwujudkan di dalam kelas tanpa ada sifat bias dalam agama.

Aspek yang kelima pula adalah budaya bertanya di dalam kelas. budaya bertanya di dalam kelas ini ditunjukkan semasa perbincangan dalam kumpulan lebih terserlah dalam kalangan pelajar perempuan. Hal ini dapat dilihat melalui pemantauan setiap kumpulan, pelajar perempuan lebih berfokus dan bersungguh-sungguh dalam menyiapkan kerja manakala pelajar lelaki pula lebih berkonsepkan santai dalam menyiapkan kerja. Tambahan pula, pelajar perempuan lebih cenderung untuk bertanya sesuatu ketidakpastian berbanding pelajar lelaki. Pelajar lelaki hanya bertanya sekiranya guru itu datang memantau kumpulan mereka. Setiap individu mempunyai cara belajarnya tersendiri tapi dari segi perspektif jantina, trait personaliti dalam belajar hampir sama bagi lelaki dan perempuan.

Aspek yang terakhir dalam  pengurusan pelbagai budaya pula adalah budaya membaca. Guru menerapkan budaya membaca di dalam kelas semasa proses pengajaran dan
pembelajaran ini berlaku. Guru meminta beberapa pelajar untuk membaca ringkasan
mengenai ‘Jata Negara’ dan meminta para pelajar yang lain untuk mendengar dan
menyemak bacaannya. Tujuan budaya membaca digalakkan di dalam kelas ini bukan sahaja untuk meningkatkan literasi tetapi untuk mendapatkan pemahaman dari apa yang telah dibaca sebelum guru menerangkannya. Selain itu, budaya membaca ini juga membantu pelajar untuk aktif mencari isi dan maklumat-maklumat yang penting untuk membuat ringkasan.

Kesimpulannya, budaya dalam konteks pendidikan semasa,budaya di sekolah
merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat. Pelajar akan dididik untuk berbudaya sebagaimana yang dipelajari . Sebagai pendidik,adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menerapkan pendidikan nilai yang merangkumi nilai material dan bukan material mengikut acuan Malaysia. Hal ini penting agar pelajar yang keluar dari alam persekolahan itu nanti mempunyai budaya yang boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bahkan, dalam kepelbagaian budaya ia merupakan satu strategi dan perspektif baharu untuk memahami variasi pelajar dari masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang budaya. Strategi ini juga seharusnya dapat membantu para pelajar memahami kepelbagaian budaya yang ada di negara ini supaya matlamat pendidikan untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar tentang wujudnya pelbagai nilai, budaya, agama dan bangsa dalam masyarakatnya serta terdapat pula persamaan-persamaan dalam budaya berbagai dapat dicapai. Oleh itu budaya sekolah yang positif perlu dititikberatkan untuk menjamin kelancaran dan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Peta Minda


Rujukan

Colin Gallagher (2015). Minecraft in the classroom. Peachpit Press. 58-59

Ab. Halim Tamuri & Nur Hanani Hussin. (2017). Pendidikan Abad ke 21 Dalam
: Cabaran dan Harapan. Seminar Pedagogi Antarabangsa ke(PEDA8). Abstrak diperoleh daripada: https://www.researchgate.net/publication/320858903_Pendidikan_Abad_ke_21_Dal
am_Kepelbagaian_Budaya_Cabaran_dan_Harapan


No comments:

Post a Comment

Program Perantis Guru 1 (PPG 1) - My Experience

Hi , everyone, thank you and welcome to my blog. Today i want talk about my experience when i go for PPG 1 22/01/2019  I go PPG 1 , befo...